KUALA LUMPUR – Calon PKR bagi Parlimen Pekan ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada 2013 lalu, Fariz Musa dilaporkan telah menjalani pembedahan untuk memotong kaki kirinya sehingga ke paras lutut semalam.
Menurut laporan beberapa portal berita tempatan, sebelah kakinya itu terpaksa dipotong akibat komplikasi daripada penyakit kencing manis dialaminya sejak sekian lama untuk mengelak melarat dan membahayakan nyawa dirinya.
Fariz, 46; yang juga Setiausaha Pengelola PKR dimasukkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju di sini sejak 13 Mei lalu, selepas beliau dikatakan terjatuh di lantai dalam bilik air di rumahnya sendiri.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen; menyuarakan kesedihannya atas keadaan Fariz ketika meluangkan masa melawatnya di hospital tersebut pada Ahad lalu.
“Ziarah Cikgu Fariz di Hospital (Angkatan Tentera) Sultan Mizan tengah hari ini (22 Mei 2016). Sedih melihat keadaan beliau yang derita akibat diabetes,†katanya menerusi catatan terbaharu di Facebooknya baru-baru ini.

Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang dan ADUN Kajang di Selangor turut berharap agar keluarga Ketua Koordinator Jingga 13 Malaysia itu bersabar atas ujian berat yang diberikan oleh Allah.
“Terima kasih di atas kerjasama baik pihak hospital, harap Cikgu Fariz dan keluarga bersabar dengan urusan Allah. Moga dipermudahkan segala urusan,†ujar beliau lagi menerusi kiriman status dalam laman sosial tersebut lagi.
Fariz, bekas guru pernah aktif dalam Pemuda UMNO Bahagian Marang di Terengganu sebelum menyertai PKR pada 1998 susulan pemecatan Anwar Ibrahim secara zalim oleh Perdana Menteri ketika itu, Dr. Mahathir Mohamad.
Ketika PRU ke-13 lalu, calon Barisan Nasional (BN) Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menang selesa di kerusi Parlimen Pekan selepas mendapat 51,278 undi manakala Fariz hanya sekadar mendapat 15,665 undi sahaja.
Ia antara kemenangan terbesar BN dalam PRU ke-13 dari segi majoriti iaitu sebanyak 35,613 undi. Sebelum itu pada PRU ke-12, Fariz pernah tewas di kerusi Kemaman, Terengganu kepada calon BN, Datuk Ahmad Shabery Cheek.
– Agensi/Mynewshub.cc/HAA

