WALAUPUN bakal mencecah usia 35 tahun Julai nanti, penyanyi Dayang Nurfaizah mengakui dirinya selesa hidup solo dan menjelaskan, dia sememangnya tidak pandai bercinta.
“Semua wanita mengimpikan rumah tangga dan ada anak, saya percaya jodoh sudah ditetapkan dan apabila tiba masanya ia akan datang sendiri.
“Buat masa sekarang, saya mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada karier dan keluarga, tetapi jika jodoh tiba-tiba datang, apa salahnya.
“Sejujurnya saya tidak perasan sama ada terdapat lelaki yang cuba mendekati saya ataupun tidak. Jika mahu, datang dan beritahu kerana jika mengharapkan saya memulakannya memang tidak tahu bila,” kata Dayang.
Mengakui keluarganya tidak memberikan sebarang tekanan untuk berkahwin, Dayang mendedahkan bahawa dia tidak mempunyai sebarang pengalaman bercinta.
“Saya memang tidak reti dan tidak mempunyai pengalaman bercinta walaupun cinta monyet dan sebagainya,” jelas Dayang kepada sebuah akhbar tempatan. – MYNEWSHUB.CC

