KUALA LUMPUR – Rakyat berhak menyokong sesebuah kerajaan yang diyakini adil, namun pada masa sama mempunyai hak untuk memilih kepimpinan alternatif melalui proses demokrasi yang sah.
JABHAH Ilmuwan Muda Malaysia (JABHAH) menegaskan bahawa penilaian terhadap sesebuah kerajaan sebagai adil tidak bermakna tindakan mengundi parti lawan menjadi haram.
Timbalan Pengerusinya, Muhammad Adam Iman Mohd Farid berkata, pengundi juga tidak seharusnya dilabel Khawarij atau penderhaka hanya kerana memilih kepimpinan berbeza.
“Menilai sesebuah kerajaan sebagai adil ialah alasan yang wajar untuk menyokongnya.
“Penilaian itu tidak menjadikan undi kepada pesaingnya haram, dan tidak mengharuskan seseorang pengundi dilabel sebagai Khawarij atau penderhaka,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, JABHAH menyeru semua pihak supaya memberikan tumpuan kepada perbahasan mengenai rekod pentadbiran, kewibawaan calon serta dasar yang ditawarkan kepada rakyat.
Menurut pertubuhan itu, perbezaan pandangan politik seharusnya dibahaskan menggunakan hujah yang rasional dan boleh dinilai, bukannya melalui pelabelan terhadap pihak yang mempunyai pilihan berbeza.
JABHAH turut mengingatkan bahawa pemerintah mempunyai amanah untuk melaksanakan keadilan, manakala pembangkang bertanggungjawab menawarkan pilihan kepimpinan yang berwibawa.
“Kedua-duanya berkewajipan menghormati keputusan rakyat dan tatacara pembentukan kerajaan yang ditetapkan oleh Perlembagaan,” menurut kenyataan itu.
JABHAH merupakan gerakan yang ditubuhkan menerusi inisiatif Majlis Ulama UMNO Malaysia (MUUM) bagi menghimpunkan agamawan muda dan golongan profesional dalam membincangkan isu agama, pendidikan, pembangunan masyarakat serta dasar dan pentadbiran negara. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial JABHAH Ilmuwan Muda Malaysia


