MAHKAMAH Majistret Shah Alam, Selangor, pada Jumaat memerintahkan seorang warden asrama membayar kompaun RM3,000 selepas mengaku bersalah memukul dua pelajar di asrama sebuah sekoleh vokasional pada awal bulan ini.
Tertuduh, Mahbut Yaacob, 53, dilaporkan melakukan kesalahan itu di Aras 2, Asrama Blok Kasih Kolej Vokasional Sungai Buloh, kira-kira jam 5.30 petang, 3 Mei lalu.
Berikutan itu, Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin memerintahkan Mahbut membayar RM1,500 kepada setiap mangsa setelah bapa kedua-dua pelajar terbabit bersetuju menyelesaikan perkara itu secara baik.
Mengikut pertuduhan pertama, Mahbut didakwa sengaja menyebabkan kecederaan dengan menampar dan memukul badan seorang pelajar Tingkatan 4 kolej terbabit.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyebabkan kecederaan kepada seorang lagi pelajar dengan memijak dan memukul badan mangsa.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Menerusi klip video viral berdurasi 1.21 minit itu, seorang lelaki berkopiah dilihat mengamuk dengan memijak bertubi-tubi badan seorang pelajar.
Difahamkan, kejadian itu berpunca gara-gara warden berkenaan tertangkap kedua-dua mangsa yang sedang menyalakan rokok. – MYNEWSHUB.CC

