NEW YORK – Seorang lelaki terbunuh dan seorang wanita cedera selepas polis melepaskan tembakan ke arah penjenayah ketika waktu puncak di kawasan pelancongan sibuk di tengah bandar Manhattan, semalam.
Kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 8.30 pagi waktu tempatan pada jarak beberapa ratus kaki daripada bangunan teater Broadway yang sedang membuat pementasan ‘Wicked’ dan ‘The Book of Mormon”.
Menurut polis, suspek bersenjatakan pisau dan bertindak menerpa ke arah seorang pegawai hingga memaksa dia melepaskan tembakan dan insiden itu masih dalam siasatan kerana pegawai terbabit kemungkinan mengalami cedera ringan.
Berdasarkan laporan awal, seorang lagi wanita yang cedera di bahagian lengan dijangka masih hidup.
Jumlah tembakan yang dilepaskan pegawai polis terbabit masih tidak dapat dipastikan.
Sharona Shriver, yang tinggal di bangunan pangsapuri berhampiran lokasi kejadian berkata, dia sedang bersolek ketika mendengar tembakan lalu bergegas ke tingkap dan melihat lelaki terbabit terbaring dan dikelilingi polis.
“Dia meniarap dengan darah mencurah keluar daripada kepala, jejak darah kelihatan seperti keluar daripada kepala atau bahagian atas badan,” katanya.
Rakan serumahnya, Tamar Mendelson berkata, dia mendengar enam das tembakan dan ketika melihat keluar ke tingkap dia nampak pegawai polis terbabit sedang menangis tetapi tidak melihat sebarang pisau. – AP/BH ONLINE

