KUALA LUMPUR – DAP mendahului parti-parti lain dalam Pakatan Harapan dengan mengumumkan akan bertanding di sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Pengumuman oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang itu seolah-olah mengabaikan parti-parti lain dalam Pakatan Harapan iaitu Parti Keadian Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) yang masih belum memutuskan perkara berkenaan secara konsensus.
“Pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan Sarawak akan mengumumkan calon bagi PRN Sarawak.
“Saya berharap bahawa calon-calon DAP di sembilan kerusi DYN Sarawak saya akan lawati dalam tempoh tiga hari nanti dapat melakukan dengan baik pada 7 Mei ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tarikh PRN ke-11 Sarawak ditetapkan pada 7 Mei depan dengan penamaan calon pada 25 April 2016.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada 11 April lalu memaklumkan Pakatan Harapan akan bertanding satu lawan satu antara PKR, DAP dan PAN.
Bagaimanapun, Wan Azizah menegaskan, butiran mengenai jumlah kerusi dan calon yang bertanding masih dalam perbincangan dan akan diumumkan oleh beliau dalam tempoh terdekat.
Pakatan Harapan ditubuhkan bagi menggantikan Pakatan Rakyat yang dibubarkan pada Ogos tahun lalu untuk menyingkirkan PAS daripada gabungan parti-parti pembangkang.
PAS disingkirkan daripada pakatan pembangkang ekoran pendirian parti itu mahu melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan yang mendapat bantahan keras pemimpin DAP dan PKR. – mynewshub.cc