KUALA PILAH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar pihak yang mendakwa DAP ‘tidak Melayu’ sambil mengingatkan tentang dokumen Pakatan Rakyat yang turut ditandatangani oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Menurut beliau, dokumen itu menyatakan Pakatan Rakyat akan tegak dalam memelihara prinsip Perlembagaan iaitu Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera.
“Riuh kita dengar kritikan kepada DAP konon tidak Melayu. Tapi DAP setakat yang saya faham, setakat saya pimpin Pakatan Rakyat ketika itu… Saya masih ingat saya selaku Presiden Keadilan, Lim Kit Siang selaku Setiausaha Agung DAP dan Tan Sri Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS.
“Kami tandatangan dokumen menyatakan bahawa Pakatan Rakyat akan tegak dengan memelihara prinsip Perlembagaan. Tiga-tiga tanda tangan. Sudah ditandatangani. Itu ikrar.
“Dalam menubuhkan kerajaan perpaduan, itu prinsip yang saya sampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Pahang. Jadi masih ada orang main isu ini di lapangan. Saya mohon rakan-rakan kita boleh bertempur dalam politik, tapi tidak boleh fitnah dalam politik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, semua pihak boleh ‘geledah’ dan berusaha untuk memenangi pilihan raya, tetapi tidak perlu menghina kawan kerana berlainan kaum dan agama.
“Justeru, kalau ada orang sengaja menggunakan isu ini, dia sama ada buta sejarah atau memang sengaja mahu memadamkan kenyataan yang memang ada.
“Saya tidak akan pimpin Pakatan Rakyat pada ketika itu. Apa saksinya? Lim Kit Siang dan Ustaz Hadi Awang. Itu prinsip yang kami tandatangani bertiga.
“Saya jelaskan perkara ini kerana saya tahu, termasuk rakan-rakan yang bersama, akan menggunakan perkara ini di kampung-kampung seperti yang saya lihat berlaku di Johor. Jadi saya mohon kita bertempur secara waras dan baik,” katanya. – MYNEWSHUB


