KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak pernah mengeluarkan emel [email protected] yang mengkehendaki pembayar cukai mengisi maklumat tertentu sebagai prosedur mendapatkan bayaran balik cukai pendapatan mereka.
Bahagian Komunikasi Korporat dan Multimedia LHDN dalam satu kenyataan media berkata, orang ramai diminta tidak mempedulikan emel tersebut kerana ia adalah emel palsu.
“Harap maklum bahawa bayaran balik cukai pendapatan hanya diproses berdasarkan maklumat pembayar cukai di dalam pangkalan data LHDN sahaja.
“Emel palsu berkenaan mengkehendaki pembayar cukai untuk memasukkan maklumat perbankan mereka dan turut akan dipautkan dengan paparan laman sesawang palsu perbankan pilihan mereka.
“LHDN menjangkakan emel palsu tersebut sedang berlegar di internet (dalam talian) dan menasihatkan semua pembayar cukai agar berhati-hati dan tidak memberikan respon terhadap sebarang arahan dalam emel tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.
LHDN memaklumkan, agensi kutipan cukai itu menerima sebanyak 17 panggilan daripada pembayar cukai yang mahu mengesahkan emel palsu tersebut semalam.
“Pembayar cukai boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan LHDN di talian 1-800-88-5436 atau mana-mana cawangan LHDN berhampiran untuk pengesahan dan maklumat lanjut,” kata kenyataan itu. – mynewshub.cc