OLEH MYNEWSHUB
CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mengumumkan pelaksanaan mandatori sistem e-Derma bagi urusan permohonan baharu kelulusan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP), berkuat kuasa mulai 15 Jun 2026.
Menurut kenyataan media HASiL, langkah itu dilaksanakan selaras usaha memperluas penyampaian perkhidmatan digital dan mempercepatkan proses pengurusan permohonan berkaitan pengecualian cukai untuk Institusi atau Organisasi (IO).
Sistem e-Derma sebelum ini telah mula boleh diakses melalui portal MyTax sejak 20 Ogos 2025.
Melalui pelaksanaan baharu itu, semua permohonan baharu yang melibatkan kelulusan di bawah Subseksyen 44(6) ACP bagi kategori IO hendaklah dikemukakan sepenuhnya secara dalam talian melalui sistem e-Derma.
HASiL memaklumkan penggunaan sistem tersebut membolehkan permohonan dilakukan pada bila-bila masa tanpa perlu hadir ke pejabat atau menghantar dokumen secara fizikal, sekali gus dijangka meningkatkan kecekapan proses semakan dan kelulusan.
Bagi kategori Tabung atau Institusi/Organisasi/Tabung (IOT) yang melantik Wakil Cukai atau Ejen Cukai untuk urusan permohonan, proses pengemukaan borang secara manual bersama dokumen sokongan masih diteruskan buat masa ini dan akan diperluaskan ke sistem e-Derma pada fasa seterusnya.
Selain permohonan baharu, HASiL turut menyediakan kemudahan digital bagi urusan lanjutan tempoh kelulusan, penghantaran dokumen seperti Penyata Kewangan Beraudit, Borang Semakan Kendiri serta pindaan maklumat berkaitan IOT melalui platform yang sama.
Langkah pendigitalan ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan HASiL memperkukuh sistem percukaian negara ke arah yang lebih cekap, telus dan mesra pengguna. – MYNEWSHUB


