OLEH MYNEWSHUB
CYBERJAYA – Pelaksanaan sistem e-Invois yang diperkenalkan kerajaan dilihat mula memberi kesan positif terhadap tahap pematuhan cukai apabila seramai 52,540 pembayar cukai tampil mengemukakan semula pendapatan bagi tahun taksiran terdahulu melibatkan jumlah keseluruhan RM4.07 bilion.
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, langkah itu turut menghasilkan cukai kena dibayar berjumlah RM1.009 bilion.
Menurut HASiL, sejak pelaksanaan e-Invois bermula pada 1 Ogos 2024, lebih 230,000 pembayar cukai telah mengemukakan e-Invois melibatkan pengeluaran sebanyak 1.505 bilion e-Invois secara keseluruhan.
Perkembangan itu disifatkan sebagai petunjuk bahawa komuniti perniagaan semakin bersedia menerima pendigitalan serta memperkukuhkan ketelusan dalam sistem percukaian negara.
HASiL turut menjelaskan bahawa bermula 1 Januari 2026, semua pembayar cukai diwajibkan mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi jualan barangan atau penyediaan perkhidmatan melebihi RM10,000.
Bagi membolehkan e-Invois dikeluarkan dengan tepat, pembeli perlu mengemukakan maklumat nombor pengenalan diri atau nombor pengenalan cukai (TIN) kepada penjual.
Dalam memperkukuhkan penguatkuasaan, HASiL memaklumkan pihaknya telah membangunkan model analitik bagi mengesan anomali, transaksi mencurigakan serta corak tingkah laku luar kebiasaan dalam kalangan pembayar cukai.
Antara petunjuk yang dikenal pasti termasuk transaksi pembelian bernilai tinggi melebihi RM100,000, pembelian kenderaan dan aset, selain aktiviti transaksi dalam talian yang aktif tetapi tidak sepadan dengan rekod percukaian sedia ada.
Menurut HASiL, pendekatan pematuhan berasaskan data atau data-driven compliance serta kaedah “nudging” akan terus dipergiat bagi memberi peluang kepada pembayar cukai membuat pembetulan secara sukarela sebelum tindakan lanjut diambil.
Bagaimanapun, hasil pemantauan mendapati masih terdapat pembayar cukai yang gagal mematuhi keperluan pelaksanaan e-Invois.
Antara kesalahan yang dikesan termasuk pengeluaran e-Invois secara tidak konsisten, kegagalan mematuhi garis panduan ditetapkan, penghantaran e-Invois disatukan melepasi tempoh dibenarkan serta kegagalan mengeluarkan e-Invois bagi transaksi melebihi RM10,000.
Sehubungan itu, HASiL menasihatkan semua pembayar cukai supaya menyemak semula pematuhan masing-masing dan segera melaksanakan pembetulan secara sukarela bagi transaksi terdahulu.
Tegas agensi itu, tindakan penguatkuasaan dan perundangan akan diteruskan bagi memastikan keadilan serta integriti sistem percukaian negara sentiasa terpelihara.-MYNEWSHUB


