IPOH – Perak kini dapat memenuhi permintaan pelancong tempatan dan antarabangsa yang menginginkan hiburan keluarga dengan adanya pelbagai tempat menarik termasuk taman tema.
Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata permintaan itu dipenuhi menerusi Taman Tema ‘Lost World of Tambun’ dan yang terbaharu Taman Tema Animasi atau lebih dikenali Movie Animation Park Studio (MAPS) di sini.
“Kedua-dua taman tema ini mempunyai elemen berbeza, namun ia dapat melonjakkan kehadiran pelancong ke Perak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Spa & Kolam Mandian Air Panas Lost World, di sini malam tadi.
Mengenai spa dan kolam mandian air panas itu, Nolee Ashilin berkata produk baharu Lost World of Tambun itu diyakini dapat memastikan pelancong mengulangi kunjungan bukan sahaja ke Ipoh, malah Perak khususnya.
Sementara itu, Pengurus Besar Lost World of Tambun Malizan Zakaria berkata produk baharu taman tema berkenaan menyediakan 15 tarikan termasuk lima kolam air panas yang mempunyai suhu air antara 40 dan 50 darjah selsius.
Katanya setiap hari sebanyak 3.3 juta liter air geotermal digunakan di spa dan kolam mandian air panas itu.
Malizan berkata kemudahan baharu itu boleh digunakan setiap hari kecuali Selasa melainkan cuti umum dan cuti sekolah dari pukul 6 petang hingga 11 malam dengan bayaran sekali masuk RM26.
Menurutnya Lost World of Tambun juga akan membuka zoo malam bagi memberi pendedahan dan pendidikan mengenai haiwan kepada pengunjung terutama kepada kanak-kanak. – BERNAMA