KUALA LUMPUR – Pegawai Kementerian Belia dan Sukan yang disyaki terlibat mendalangi sindiket menyeleweng dana kerajaan telah dipindahkan daripada kementerian, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata pihaknya juga telah memohon kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menggantung tugas pegawai tersebut berdasarkan peraturan 43 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tataterib) 1993.
“Tindakan ini diambil setelah saya dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Dr Ali Hamsa) semalam bahawa pihak kementerian boleh memohon untuk memindahkan pegawai ke tempat lain walaupun siasatan masih berjalan.
“Setakat hari ini beliau masih belum digantung tugas kerana jawapan berhubung permohonan berkenaan belum lagi diperolehi,” kata Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO di sini, hari ini.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jumaat lepas menahan seorang setiausaha bahagian kementerian itu selepas disyaki terlibat mendalangi satu sindiket menyeleweng dana kerajaan bernilai RM107 juta.
Khairy turut memberi jaminan akan memastikan siasatan dilakukan secara menyeluruh supaya pihak yang bersalah dibawa ke muka pengadilan.
“Kita akan mengambil tindakan proaktif bagi membetulkan keadaan supaya perkara yang terjadi pada hari ini tidak akan berulang lagi di masa hadapan.
“Pihak kementerian juga akan mengambil inisiatif untuk mengkaji dan memperbaiki segala kelemahan yang terdapat di dalam aspek pengurusan terutamanya prosedur membabitkan bahagian kewangan dan perolehan,” katanya.
Beliau berkata keputusan siasatan yang dijalankan oleh SPRM dan satu pasukan siasatan bebas dijangka diketahui selewat-lewatnya bulan hadapan. – BERNAMA

