BANGKOK – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti dalang utama di sebalik cubaan menyeludup masuk sejumlah besar dadah jenis ‘Ice’ and Heroin ke negara itu minggu lepas, hasil pertukaran maklumat dengan pihak berkuasa di negara lain.
Pengarah Jabatan Narkotik Bukit Aman Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata seramai 21 rakyat Malaysia, yang ditahan ketika cuba menyeludup masuk 226 kilogram (kg) ‘Ice’ dan 8 kg Heroin ke Malaysia, hanyalah ‘keldai dadah’ sindiket terbabit.
“Kita (PDRM) sudah bertukar maklumat (dengan polis negara lain), jadi kita tahulah (siapa dalang sebenar). Sama ada ia rakyat Malaysia atau Thailand, itu kita tidak boleh beritahulah tetapi kita tahulah (siapa dalang),” katanya kepada Bernama di sini.
Beliau turut mengesahkan bahawa Malaysia bukannya destinasi utama bagi dadah yang cuba diseludup masuk oleh rakyat negara itu minggu lepas sebaliknya, ia adalah untuk pasaran di negara lain.
“Malaysia hanyalah sebuah destinasi transit berikutan lokasi dan infrastrukturnya yang menarik, sebelum dadah itu ‘dipindahkan’ ke negara lain oleh sindiket terbabit,” katanya.
Anggota Pasukan Penyiasat Polis Thailand juga memberitahu Bernama bahawa mereka mengesyaki dadah terbabit akan dihantar ke sebuah negara di Eropah dan nilainya menjadi lebih tinggi selepas tiba di Malaysia.
Semalam, Mohd Mokhtar turut menghadiri sidang media Ketua Polis Thailand Jeneral Polis Chakhtip Chaijinda di sini berhubung penahanan dua lagi rakyat Malaysia bersama-sama 282 kg dadah ‘Ice’ di Sadao dua hari lepas.
Penahanan itu menjadikan jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang ditahan Polis Thailand sejak seminggu lepas ialah 23 orang dan dadah yang dirampas berjumlah 516 kg termasuk 8 kg Heroin.
Pasukan Penyiasat Polis Thailand menganggarkan nilai 226 kg ‘Ice’ dirampas daripada 21 rakyat Malaysia dan 282 kg dadah sama dirampas dari dua lagi rakyat Malaysia akan meningkat sekurangnya 10 kali ganda apabila berada di pasaran gelap Eropah.
“Sebanyak 226 kg Ice yang dirampas daripada 21 rakyat Malaysia dianggarkan bernilai 4 bilion Baht atau kira-kira RM400 juta, manakala 282 kg Ice daripada dua rakyat Malaysia bernilai 6 bilion Baht (RM600 juta) di pasaran gelap Eropah,” kata anggota penyiasat Thailand itu.
Mohd Mokhtar berkata anggota sindiket pengedaran dadah sanggup menempuh segala risiko termasuk kemungkinan berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati sekiranya ditangkap.
“Ini membuktikan betapa menariknya bisnes ini (pengedaran dadah). Kedua-dua kes (yang membabitkan rakyat Malaysia) menunjukkan mereka ini tidak takut walaupun kita mempunyai hukuman mati,” katanya.
Beliau berkata Jabatan Narkotik PDRM dan Biro Pencegahan Narkotik Polis Thailand akan terus menjalin kerjasama terutamanya daripada segi pertukaran maklumat perisikan bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah antara dua negara.
“Kita (PDRM dan Polis Thailand) menjalin kerjasama pada masa lampau, ketika ini dan semestinya pada masa akan datang. Dadah adalah musuh negara dan musuh utama,” kata beliau.
Menurutnya kerjasama erat polis kedua-dua negara sehingga membawa kepada penangkapan rakyat Malaysia dan sejumlah besar dadah itu merupakan mesej jelas kepada para pengedar dadah tentang usaha gigih kedua-dua negara berjiran itu untuk menumpaskan mereka.
Pengedaran dadah adalah masalah global dan usaha memerangi pengedaran dan penyalahgunaan dadah memerlukan kerjasama dan pertukaran maklumat perisikan pelbagai negara, katanya. – BERNAMA

