PUTRAJAYA – Pendakwah selebriti, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan hari ini daripada pertuduhan merogol seorang wanita tujuh tahun lalu.
Memetik laporan media, keputusan itu dibuat secara majoriti 2-1 oleh panel tiga hakim yang membenarkan rayuan akhir pendakwah berkenaan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan.
Panel berkenaan diketuai Hakim Datuk Azman Abdullah bersama Hakim Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid, manakala Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid memberikan keputusan berbeza.
Ketika membacakan penghakiman, Azman berkata, pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi perayu.
“Sabitan terhadap perayu adalah tidak selamat, rayuan perayu dibenarkan, hukuman pemenjaraan 10 tahun tiga sebatan oleh Mahkamah Tinggi diketepikan,” katanya.
Keputusan itu sekali gus membatalkan sabitan dan hukuman yang sebelum ini dikekalkan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Januari lalu.
Terdahulu, ketika prosiding rayuan pada 3 Ogos lalu, pihak pembelaan berhujah bahawa Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam membuat penilaian terhadap keterangan dan fakta kes.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan mempertahankan sabitan berkenaan dengan menegaskan hubungan seksual yang menjadi asas pertuduhan berlaku tanpa persetujuan pengadu.
Kes itu bermula apabila Da’i Syed didakwa pada 10 Disember 2020 atas pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun di sebuah kondominium di I-City, Shah Alam pada 11 September 2019. Pada 10 April 2023,
Mahkamah Sesyen membebaskannya sebelum Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pendakwaan dan mengarahkannya membela diri. Pada 30 Ogos 2024, beliau disabitkan dan dihukum penjara 10 tahun serta tiga sebatan sebelum kes itu dibawa ke Mahkamah Rayuan. – MYNEWSHUB


