JAKARTA – Badan hal ehwal Islam tertinggi Indonesia, Majelis Ulama Indonesia (MUI) berhasrat mengharamkan penganut agama Islam daripada memakai pakaian yang jelas ada kaitan dengan agama lain, mulai April depan.
Ini adalah antara usaha terbaharu MUI untuk memperkukuhkan keimanan para penganut agama Islam di negara paling ramai umat Muslim di dunia itu, demikian menurut laporan oleh laman portal Asian Correspondent.
Pengharaman simbolik tersebut seperti disasarkan khusus kepada pekerja runcit yang mungkin biasanya akan memakai misalnya pakaian ‘Santa Claus’ di premis perniagaan pada musim perayaan Krismas setiap akhir tahun.
Pemakaian itu satu perbuatan yang dilihat oleh majoriti rakyat Indonesia yang berfikiran konservatif sebagai bentuk percubaan halus tersirat pihak tertentu untuk pekerja Muslim menyertai sambutan agama Kristian.
Menurut laporan Asian Correspondent, pengharaman tersebut akan diumumkan secara rasmi pada bulan April kelak dengan memetik kenyataan dipetik daripada Ketua Divisyen Fatwa MUI, Huzaemah Tahido Yanggo.
Beliau berkata pengharaman berkenaan turut didukung oleh sumber dalil hadith dan amalan perbuatan Nabi Muhammad SAW sendiri yang sedang dikaji dengan penuh teliti oleh pasukan MUI sebelum ia diwartakan.

Menurut beliau, hadith-hadith sahih Rasulullah SAW banyak menjelaskan bahawa seorang Muslim sebenarnya tidak boleh berpakaian yang mempunyai simbol agama lain kerana bimbang boleh terjejas akidah mereka.
Malah MUI menjelaskan, memakai pakaian yang ada kaitan dengan agama lain boleh dianggap sebagai menerima agama lain sebagai agama yang benar dan tindakan itu juga tanpa disedari akan merosakkan akidah seseorang.
“Allah SWT ada berfirman: ‘bagi kamu, agama kamu dan bagi kami, agama kami’. Itu adalah asas hukum, yang mengesahkan seseorang tidak boleh dipaksa buat sesuatu tidak sesuai dengan agama mereka,” ujar Huzaemah.
Beliau yang turut dilaporkan oleh akhbar berpengaruh Jakarta Post, kemudian merujuk kepada perniagaan-perniagaan tertentu memaksa pekerja Islam memakai pakaian mengikut musim-musim perayaan agama lain.
Langkah pengharaman yang disarankan itu bagaimanapun adalah bersifat simbolik, memandangkan MUI tidak mempunyai kuasa untuk menggubal, mengubah atau menguatkuasakan undang-undang awam di Indonesia.
Majlis yang ditubuhkan sejak 1975 itu hanya boleh mengutarakan saranan kepada pihak pemerintah tempatan, sebagai sebuah badan penasihat rasmi bagi negara yang sekitar 200 juta penduduknya beragama Islam. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

