KUALA LUMPUR – Pengurus dan Ketua Jurulatih pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez tidak berpuas hati dengan mutu padang Stadium Hang Jebat di Melaka.
Beliau mendakwa, keadaan padang itu yang teruk menyebabkan anak buahnya tidak dapat beraksi sebagaimana sepatutnya ketika menentang pasukan PDRM malam tadi.
“Saya hairan bagaimana Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) boleh membenarkan pasukan bermain di sini (Stadium Hang Jebat).
“Setiap pasukan di Malaysia berusaha untuk memperbaiki pasukan mereka tetapi sayangnya tidak ada antara mereka yang mempunyai stadium sendiri,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dalam aksi Piala FA 2016 di Stadium Hang Jebat malam tadi, JDT sekadar mampu merangkul satu gol menerusi sepakan penalti untuk menewaskan PDRM 1-0.
Gomez dalam pada itu berkata, semua pasukan cuba menandingi Stadium Larkin dengan menukar kerusi dan memasang papan LED tetapi tidak sedar faktor paling penting dalam stadium adalah padang.
Katanya, padang mesti sentiasa diberi keutamaan kerana di situ perlawanan dilangsungkan.
“Saya telah berkecimpung dalam arena bola sepak lebih 30 tahun dan telah bekerja di Argentina, Sepanyol dan Itali.
“Izinkan saya memberikan nasihat. Perbaiki padang dan kemudahan anda terlebih dahulu kerana kualiti perlu dijadikan keutaman yang pertama, bukan pemandangan,” katanya.
Beliau turut menegaskan, padang terbaik yang beliau pernah lihat di Malaysia adalah Stadium Larkin dan Stadium Selayang.
Bagaimanapun, katanya, beliau berbangga kerana pemain JDT mampu memberikan aksi terbaik mereka malam tadi di Stadium Hang Jebat.
“Saya amat gembira dengan pemain saya, meskipun mereka begitu letih kerana telah bermain lebih banyak perlawanan berbanding pemain-pemain lain dalam liga.
“Secara spesifiknya, mereka telah bermain sebanyak tujuh perlawanan dalam masa sebulan. Pada pendapat saya, ia adalah terlalu banyak untuk mana-mana pemain,” ujarnya. – Mynewshub.cc

