KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mahu atlet perahu layar yang layak secara merit, dipilih untuk mewakili negara di temasya Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil Ogos ini.
Baginya, ia selaras dengan prinsip dan peraturan kelayakan yang ditetapkan pada Kejohanan Perahu Layar ASAF (Persekutuan Pelayaran Asia) di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pada 5-12 Mac lepas.
Ketika ini, Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) belum memutuskan nama dua pelayar yang akan ke Rio selepas Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Syazrin Muhamad Latif melayakkan diri, masing-masing dalam acara Laser Standard Lelaki dan Laser Radial Wanita.
“Apabila kita berdasarkan prinsip tersebut, kita kena ikut keputusan yang melayakkan atlet itu masuk ke Rio.
“Bagaimanapun, saya serahkan tugas memilih dua atlet layar negara ke Sukan Olimpik kepada MSA, MSN (Majlis Sukan Negara) dan MOM (Majlis Olimpik Malaysia).
“Saya akan tunggu laporan dari MSA dan MSN dahulu,” katanya kepada pemberita di Kempen Kesedaran Disleksia Melalui Sukaneka di Padang Kelab Kilat, Bangsar, di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta menggulas kelewatan MSA menamakan dua pelayar negara ke temasya itu berikutan peraturan badan induk dunia – World
Sailing – atlet yang layak mendapatkan slot ke Olimpik adalah untuk kuota negara dan tidak semestinya atas nama mereka yang menempah tiket itu.
Khairulnizam menempah slot itu selepas meraih pingat emas dengan mengutip 30 mata manakala Nur Shazrin mendapat perak dan menjadi pelayar wanita pertama negara menempah slot ke Sukan Olimpik.
Namun, peluang Nur Shazrin, 17, untuk ke Rio agak tipis apabila kakaknya sendiri, Nurliyana Muhamad Latif dan Khairuneeta Mohd Afendy iaitu adik perempuan kepada Khairulnizam, menjadi dua pesaing untuk tempat itu.
Begitupun bagi kategori Laser Standard Lelaki, Khairulnizam dijangka meraih slot berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Khairy berkata bekas penyerang import Kelantan dari Columbia, Erwin Carrillo mempunyai hak untuk membawa kes tunggakan gajinya ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Inilah jadinya jika pasukan liga tempatan tidak selesaikan masalah tunggakan gaji, bagi saya beliau hanya mengikut saluran yang ada dan saya harap KAFA (Persatuan Bola Sepak Kelantan) dapat selesaikan apa yang dikatakan tunggakan gaji itu,” katanya.
Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedia membantu KAFA untuk menangani kes itu dengan menjadi orang tengah antara KAFA dan FIFA.
KAFA didakwa mempunyai hutang gaji selama tiga bulan, iaitu sebanyak US$55,000 (RM221,625) kepada pemain berusia 32 tahun itu yang kini beraksi bersama kelab Real Cartagena di Columbia. – BERNAMA

