JAKARTA – Vokalis Ungu, sebuah kugiran terkenal di Indonesia, Pasha, adalah antara beberapa artis tempatan dilaporkan menang berdasarkan keputusan undian tidak rasmi Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) Indonesia.
Pasha atau nama sebenarnya Sigit Purnomo Syamsuddin Said; popular dengan lagu Andai Ku Tahu dan Kekasih Gelapku, memperoleh 44.79 peratus undi, sekali gus bakal menjadi naib Walikota (Datuk Bandar) bagi Kota Palu.
Media tempatan melaporkan keputusan awal itu menunjukkan bahawa Pasha bersama-sama dengan pasangannya Hidayat jauh mendahului tiga pasangan lain untuk pemilihan di bandar raya wilayah Sulawesi Tengah tersebut.
Namun, apa dibimbangi peminat atau juga digelar ‘Ungu Cliquers‘, jika Pasha, 36 tahun; yang baharu dikurniakan anak keenam, disahkan menjadi Naib Datuk Bandar Kota Palu, beliau mungkin tidak lagi menjadi vokalis Ungu.
Sesetengah peminat pula khuatir Ungu akan dibubarkan. Namun, pengurus Ungu, Rudi Wanandar ketika dihubungi pihak media menjelaskan bahawa Pasha “akan tetap bersama Ungu” meskipun ada jawatan pemerintah.
“Dia akan tetap bersama Ungu, apapun bentuk kontribusi (sumbangan)nya, bisa lagu, bisa apa saja, dia tetap bersama Ungu. Ungu itu brand (jenama). Banyak unit bisnes yang sedang kami kembangkan sekarang.

“Tapi sejauh ini kami belum buat apapun. Tidak ada yang bisa gantikan posisi Pasha meski nanti terpilih sebagai pejabat publik di sana. Kami akan terus berkembang. Pasha tetap di situ,” ujar Rudi ketika dihubungi.
Beliau juga menegaskan Ungu masih akan mengeluarkan album baharu pada tahun depan, namun tarikhnya belum dipastikan. Apa yang jelas, katanya, Ungu sudah menyiapkan konsep dan Pasha tetap akan terlibat.
Walaupun begitu, Rudi tetap faham apa yang dirasakan oleh sebahagian besar daripada penyokong fanatik kugiran itu, lebih-lebih lagi Pasha merupakan anggota Ungu yang mempunyai paling ramai peminat tegar tersendiri.
Bekas muazin dan qari semasa zaman remaja itu menyertai Ungu pada 1999. Pasha pernah bernikah dengan Okie Calerista Agustina Sofyan pada 2003 sebelum bercerai dan berkahwin dengan Adelia Wilhelmina pada 2011.
“Kekecewaan pasti ada. Intinya, wacana ini sudah 3 hingga 4 tahun lalu, sudah banyak yang dibicarakan. Sebagai bisnes, Ungu tetap berjalan,” katanya. Pasha berdarah Bugis dilahirkan pada 1979 di Donggala, Sulawesi Tengah.
Rudi dan anggota Ungu lain bagaimanapun mengaku tidak khuatir jika Pasha benar-benar terpilih sebagai Naib Datuk Bandar Palu. Malahan, mereka menyokong Pasha dan pasti akan datang pada saat beliau dilantik kelak.
– Agensi/Mynewshub.cc/HAA
ÂÂ

