KUALA LUMPUR – Pemimpin 10 negara Asia Tenggara hari ini menandatangani deklarasi bersejarah bagi pembentukan Komuniti ASEAN menjelang 31 Dis 2015 yang menggariskan ketetapan untuk meningkatkan integrasi di rantau yang mempunyai populasi lebih 600 juta.
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak, selaku pengerusi ASEAN 2015 disertai pemimpin sembilan lagi negara Asia Tenggara menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur 2015 bagi Pembentukan Komuniti ASEAN.
Mereka juga menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur bagi ASEAN 2025: Bersama Melangkah Ke Hadapan, dokumen yang menggariskan hala tuju komuniti itu untuk 10 tahun akan datang.
Selepas majlis pemeteraian itu, pemimpin berkenaan memuktamadkan upacara itu dengan membuat satu pukulan pada dram secara serentak, melambangkan keazaman ASEAN ke arah menjadi satu komuniti.
Selain Najib, dokumen itu ditandatangani oleh Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen, Presiden Indonesia Joko Widodo, Perdana Menteri Laos Thongsing Thammavong, Presiden Myanmar U Thein Sein, Presiden Filipina Benigno S. Aquino, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha dan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Tan Dung.
Ditubuhkan selepas 48 kewujudan perkumpulan itu, Komuniti ASEAN berteraskan tiga tonggak iaitu Komuniti Politik dan Keselamatan ASEAN, Komuniti Ekonomi ASEAN dan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN.
Dalam ucapan pada upacara itu, Najib berkata terlalu banyak faedah yang bakal diraih daripada komuniti berkenaan dari segi ekonomi yang akan turut memanfaatkan kehidupan harian semua warganya.
Tetapi, katanya, gagasan Komuniti ASEAN sebenarnya melangkaui semua itu.
“Ia juga mengenai kita semua sebagai ASEAN, mengiktiraf bahawa sesuatu yang istimewa mengikat kita, dan menjadikan semua warga kita merasakan ASEAN sebagai denyut nadi mereka,” katanya.
Najib mengambil perhatian bahawa cara ASEAN telah mengemudi perkumpulan serantau ini dan akan terus menjadi kompasnya dalam usaha untuk mencapai kesepaduan politik, integrasi ekonomi lebih padu, memikul tanggungjawab sosial dan menjadi ASEAN berorientasikan rakyat, berpaksikan rakyat dan berasaskan peraturan yang sebenarnya. – BERNAMA