SEBAGAI tanda protes kesan jerebu, Singapura dilaporkan bertindak tegas memboikot produk keluaran beberapa syarikat Indonesia yang dikatakan terbabit dengan pembakaran terbuka di negara itu.
Menurut Straits Times, tindakan ini dilakukan oleh beberapa rangkaian pasaraya antaranya NTUC FairPrice, Sheng Siong dan Prime Supermarket.
Difahamkan, Kumpulan Dairy Farm turut mengikut langkah sama terhadap kendalian rangkaian kedai serbanekanya seperti Guardian, 7-Eleven, Cold Storage dan Giant.
Keputusan memboikot ini dibuat selepas Majlis Alam Sekitar Singapura (SEC) menggantung buat sementara waktu label hijau pengedar eksklusif APP di Singapura, Universal Sovereign Trading.
30 September lalu, SEC telah meminta 17 syarikat, termasuk FairPrice untuk menandatangani borang pengakuan bahawa mereka tidak boleh membawa masuk dan menjual produk dari lima syarikat termasuk APP, yang kini sedang disiasat kerana dikatakan terbabit dengan kebakaran hutan di Indonesia yang menjadi punca utama jerebu di rantau ini. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Free Malaysian Today

