KUALA LUMPUR – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) sedang mengkaji profail FC Istiklol bagi mempersiapkan jenteranya untuk berhadapan dengan pasukan itu dalam aksi peringkat akhir Piala AFC 2015.
Jurulatihnya, Mario Gomez berkata, perlawanan itu sangat penting kerana julung kali pasukan dari Malaysia layak ke pusingan akhir kejohanan itu.
“Ramai yang gembira apabila pasukan dari Kuwait dihalang terlibat dalam mana-mana perlawanan antarabangsa. Tetapi bagi saya, kita (JDT) perlu mengharungi setiap langkah demi langkah.
“Saya tidak tahu banyak tentang Istiklol FC, tetapi kami akan mengkaji profail pihak lawan bagi mempersiapkan diri dalam menghadapi mereka dari segi mengenali pemain, stadium dan juga kekuatan dan kelemahan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Gomez dalam pada itu turut memaklumkan pihaknya sedang menunggu status penyerang import JDT, Luciano Figueroa sama ada layak mewakili Harimau Selatan dalam pertembungan akhir Piala AFC 2015.
Sementara itu, laman Facebook rasmi Harimau Selatan, Johor Southern Tigers melaporkan perlawanan akhir Piala AFC 2015 akan berlangsung di Stadium Central Republican, Dushanbe, Tajikistan pada 31 Oktober 2015.
Menurut laman Facebook tersebut, perlawanan itu dijadualkan bermula pada pukul 4 petang waktu tempatan bersamaan pukul 7 malam waktu Malaysia.
JDT mencipta sejarah menjadi sebagai pasukan bola sepak pertama layak ke pusingan akhir Piala AFC. – mynewshub.cc

