IPOH – Semua jabatan kerajaan di Perak disaran mengetengah bidang inovasi dengan lebih mendalam agar dapat dijadikan pendekatan yang berguna jika berdepan sesuatu masalah, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata, inovasi bukan hanya sekadar slogan disebabkan pengertiannya sangat luas dan perlu diterjemahkan dalam semua aspek kehidupan yang membawa kesejahteraan serta kemakmuran kepada rakyat khususnya.
“Dua aspek penting dalam pelaksanaan inovasi membabitkan dua komponen iaitu melibatkan diri dalam industri kreatif serta persekitaran yang baik. Ini kerana jika kita hanya mempunyai elemen kreatif tetapi jika tiada penyampaiannya terhadap apa yang dilakukan, kita tidak akan berjaya mencapainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) 2015 peringkat negeri di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.
Sebanyak 28 kumpulan dari jabatan negeri serta persekutuan, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan, menyertai KIK yang terbahagi kepada dua kategori iaitu Teknikal dan Pengurusan.
Dalam pada itu, Sekolah Menengah Raja Perempuan Taayah diumumkan sebagai pemenang hadiah utama Anugerah Inovasi Menteri Besar dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM50,000, piala dan sijil penghargaan.
Pengetua sekolah berkenaan, Noor Aini Zainal Abidin berkata inovasi bertajuk ‘Young Scientist’ memberi penekanan mengubah tanggapan masyarakat mengenai sekolah beraliran agama yang tidak hanya terhad kepada kerohanian semata-mata.
“Kami membina inovasi ini dengan keyakinan pelajar serta sikap positif mereka untuk berjaya seperti sekolah berasrama penuh yang lain.
“Kami telah berjaya mencipta 19 produk inovasi dan ada di antara produk tersebut berjaya diketengahkan sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya. – BERNAMA

