ORANG ramai tidak perlu panik dengan kes demam kepialu, sebaliknya perlu terus mempertingkatkan aspek kebersihan diri masing-masing, bagi mengelakkan sebarang jangkitan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, demam kepialu merupakan wabak yang boleh dirawat, namun orang ramai perlu mengutamakan kebersihan, terutama mengelak daripada makan di tempat yang diragui kebersihannya, selain mendapat bekalan air bersih serta menggunakan tandas.
“Demam kepialu bukan merupakan perkara baru di negara ini dan Kementerian Kesihatan mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi untuk menanganinya.
“Kita mengesan kes demam kepialu ini bermula dari tujuh buruh binaan warga asing di tapak pembinaan di Cheras, Kuala Lumpur pada Ogos lepas,†katanya selepas merasmikan Konvensyen QA Kementerian Kesihatan Peringkat Kebangsaan Ke-8, hari ini.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah kes demam kepialu di Kuala Lumpur meningkat kepada 32 kes, sejak Ogos lalu, dengan 16 kes dikesan di Titiwangsa, Kepong (lapan), Lembah Pantai dan Cheras (masing-masing empat kes).
Menurut Dr Noor Hisham, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sedang menjalankan siasatan epidemiologi di lapangan, bagi mengetahui punca jangkitan yang menyebabkan kejadian demam kepialu.
Dr Subramaniam berkata, bagi memastikan kebersihan di kalangan pekerja asing, majikan perlu memastikan mereka diberi tempat tinggal lebih elok dan dilengkapi kemudahan secukupnya, terutamanya air bersih.
Beliau berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia, dalam memastikan kesihatan pekerja dan orang awam terjamin.
“Kita melakukan ujian kesihatan kepada pekerja asing, termasuk malaria, HIV dan tibi, namun tidak kepada ujian demam kepialu, kerana ia memerlukan kos besar. Sehubungan itu, kita nasihatkan semua pihak supaya menjaga kebersihan masing-masing,†katanya.
Sementara itu, lebih 600 individu menyertai konvensyen QA yang bermula semalam sehingga Khamis ini, bagi mengembangkan peningkatan kualiti dalam kalangan anggota kesihatan, selain mengiktiraf usaha pelaksanaan aktiviti peningkatan kualiti secara formal.
Sejumlah 52 projek turut dipertandingkan pada konvensyen berkenaan dengan melibatkan dua kategori, iaitu pembentangan oral dan poster. – BERNAMA
[youtube http://www.youtube.com/watch?v=IozDCl7olsM&w=420&h=315]

