KANGAR – Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata umat Islam boleh berjaya melalui kekuatan ukhuwah.
Beliau berkata umat Islam akan disanjung dan dikagumi oleh bangsa yang ada di dunia jika dapat bersatu dan membina kekuatan ekonomi tanpa bergantung kepada bukan Islam.
“Ada negara kecil tetapi ekonominya kukuh. Rakyatnya pula berpendapatan tinggi dan dihormati dunia. Ini yang perlu diteladani umat Islam,” kata Mohd Asri.
Beliau berucap merasmikan Konvensyen Usahawan Mukmin anjuran bersama Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Perlis dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) Perlis di Dewan Warisan di sini, Rabu.
Menurut Asri, umat Islam Malaysia berupaya membina kekuatan ekonomi melalui semangat muafakat yang telah wujud dalam diri orang Melayu khususnya dengan syarat, menghakis terlebih dahulu perasaan iri hati sesama sendiri.
Mohd Asri berkata Nabi Muhammad SAW mengamalkan semangat tolong-menolong dalam kalangan suku-suku kaum di Tanah Arab semasa hayat baginda sehingga ekonomi umat Islam bangsa Arab pada masa itu sangat kuat.
“Kita tidak berniat membuat golongan bukan Islam gerun tetapi Islam mengajar umatnya bersatu dan bermuafakat dalam segala hal termasuk politik.
“Adalah baik sekiranya umat Islam Malaysia bermuafakat menghasilkan produk halal daripada bergantung kepada bukan Islam untuk memenuhi keperluan mereka,” kata Mohd Asri yang menegur sikap segelintir peniaga makanan Islam tidak mementingkan kualiti dan status halal.
Sebelum itu Pengarah MARA Perlis, Zahari Aziz berkata agensi itu akan menganjurkan lebih banyak konvensyen dalam usaha melahirkan lebih banyak usahawan Islam di negeri itu.
Pengerusi DPIM Perlis, Fakhruddin Arrazi Abdullah pula berkata konvensyen pertama itu disertai 700 anggota DPIM dan bakal-bakal usahawan di Perlis.
Tiga kertas kerja dibentangkan iaitu ‘Jihad Bisnes dan Wakaf Korporat’ oleh Presiden DPIM Tan Sri Muhammad Ali Hashim; ‘Usahawan Mukmin’ oleh pakar motivasi, Pahrol Mohd Joui dan tokoh perniagaan Brunei, Rahman Metasim mengenai ‘Peluang Perniagaan Di Brunei’. – BERNAMA

