KUALA LUMPUR – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyokong tindakan Timbalan Presidennya menyertai Parti Amanah Negara (PAN) dan dilantik sebagai Naib Pengerusi parti itu.
Presiden IKRAM, Dr. Mohd. Parid Sheikh Ahmad berkata, IKRAM mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan perlantikan Hasanuddin tersebut.
“IKRAM menghormati keputusan Hasanuddin untuk melepaskan jawatannya dalam IKRAM dan terlibat aktif dalam politik.
“IKRAM percaya dengan latar belakang, pengalaman dan kredibiliti yang dimilikinya, beliau boleh berjaya dalam apa juga medan yang bakal diceburi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, kata Mohd. Parid, IKRAM berdoa agar Allah S.W.T sentiasa memberi petunjuk dan hidayah kepada Hasanuddin dalam setiap urusan beliau selepas ini.
PAN ditubuhkan oleh bekas pemimpin-pemimpin PAS pro Pakatan Rakyat yang disingkirkan dalam pemilihan PAS pada Jun lalu.
Kesemua mereka bertindak meninggalkan PAS dan menghasut ahli lain mengambil tindakan serupa supaya menyertai parti baharu PAN sebagai sekutu DAP serta Parti Keadilan Rakyat.
Tindakan mereka menimbulkan kemarahan pemimpin PAS kerana melakukan khianat terhadap parti itu. – mynewshub.cc

