PETALING JAYA – Sejumlah 1,444 majikan gagal mendaftar pekerja masing-masing sebagai pencarum di Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sepanjang tahun lepas.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Perkeso Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata jumlah itu menurun daripada 1,802 majikan pada tahun 2013.
“Penurunan jumlah itu antara kejayaan pelaksanaan program pemutihan yang memberi peluang kepada majikan yang layak dan belum berdaftar dengan Perkeso.
“Dalam program pemutihan yang berakhir pada 31 Ogos lalu, sebanyak 4,203 majikan baru telah mendaftar, peningkatan sebanyak 38 peratus berbanding bulan sebelumnya,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Ops Kesan 2015 di Wisma Perkeso di sini hari ini.
Menurutnya, majikan yang gagal mendaftar bakal dikenakan tindakan tegas dalam Ops Kesan yang diadakan seluruh negara secara serentak bermula hari ini.
“Bagi majikan aktif, yang menggaji sekurang-kurangnya seorang pekerja, yang tidak mendaftar akan dikenakan kompaun sebanyak RM500 hingga RM4,000 mengikut tempoh kelewatan,” katanya.
Sehingga Ogos tahun ini, sejumlah 5,435 majikan telah berdaftar dengan Perkeso, kata Mohammed.
Beliau berkata Perkeso telah menerima pendaftaran dengan peningkatan sebanyak 10.3 peratus dan mengesan sejumlah 610 majikan yang masih lagi gagal untuk berdaftar.
“Justeru kami menyeru kepada pekerja yang tidak pasti sama ada majikan mereka sudah berdaftar atau tidak tampil untuk bertanya status di mana-mana 47 pejabat Perkeso berhampiran seluruh negara,” katanya. – BERNAMA

