KUALA LUMPUR – Mayat mangsa nahas pesawat Trigana Air yang terhempas ketika dalam perjalanan dari ibu negeri Papua, kelmarin, akan dihantar ke Rumah Sakit Bhayangkara di bandar Jayapura untuk proses pengecaman.
Ketua Badan Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (BASARNAS), FHB Soelistyo, berkata mayat mangsa masih berada di lokasi nahas dan pihaknya belum membuat keputusan sama ada mahu mengeluarkan semua mangsa nahas menerusi udara atau darat.
“Di Jayapura sudah bersedia Rumah Sakit Bhayangkara untuk menerima semua jasad mangsa yang akan dihantar ke sana, bagi dikenal pasti identitinya oleh pasukan DVI (anggota Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana),” katanya.
Soelistyo berkata, pasukan penyelamat darat dan udara masih berusaha mencari lokasi sesuai untuk membuat pendaratan helikopter, bagi membolehkan mayat mangsa dibawa keluar dalam jumlah yang banyak.
“Kalau tidak boleh, saya akan gunakan kaedah ‘hoisting’. Tapi tidak boleh semua jasad sekali gus,” katanya.
Hingga kini, pasukan penyelamat sudah menemui 38 mayat mangsa dan usaha mencari 16 yang lain masih diteruskan.
Keadaan mayat juga sudah tidak sempurna serta terbakar dan harapan adalah tipis untuk mendapat mangsa yang terselamat.
“Kita terus mencari, dan melakukan evakuasi. Termasuk mencari kotak hitamnya demi kepentingan dalam proses siasatan nanti,” katanya turut memaklumkan cuaca di tapak lokasi nahas tidak begitu baik. – AFP/Detik News/BH ONLINE
https://www.youtube.com/watch?v=itTVZWsZP3c

