KUALA LUMPUR – ASEAN mempunyai kewajipan untuk memupuk budaya bersukan dalam kalangan rakyatnya dan meningkatkan standard sukan berprestasi tinggi di negara-negara anggota.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata adalah penting untuk negara anggota mempunyai infrastruktur dan peralatan yang sesuai bagi mencapai misi menunjukkan kepada dunia bahawa ASEAN juga mampu menghasilkan lebih ramai atlet kelas dunia.
“Inilah masanya kita menguatkan tekad dan komitmen dalam mengumpul sumber kita untuk kebaikan atlet sama ada untuk laluan atlet, latihan dan kepakaran teknikal serta kepentingan Sains Sukan dan Perubatan.
“Bagaimanapun, kita tidak harus lupa tanggungjawab moral kita kepada masyarakat lain dengan menyediakan kemudahan dan pengetahun mengenai kepentingan sukan untuk gaya hidup sihat,” katanya dalam ucapan pembukaan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Sukan ASEAN ketiga (AMMS-3) di sini hari ini.
Beliau berkata sukan mempunyai impak yang boleh mempengaruhi masyarakat.
“Tambahan pula, sukan merupakan alat yang berkuasa dan terbukti merapatkan jurang dalam masyarakat dan memberi harapan kepada komuniti.
“Nilai sukan kadang kala dipandang rendah, tetapi bagi sesiapa yang tahu dan pernah ke acara sukan, ia benar-benar boleh membentuk semula asas kepada masyarakat,” katanya. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=rMM-HHjASb8

