PUTRAJAYA – Cinta tiga segi akhirnya membawa seorang lelaki kekal dipenjara selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhirnya terhadap sabitan membunuh teman wanitanya, sembilan tahun lepas.
Panel lima anggota diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif menolak rayuan seorang lelaki berumur 24 tahun terhadap sabitan dan hukuman ditahan di penjara selama tempoh yang mendapat perkenan Sultan Pahang kerana membunuh seorang remaja perempuan berumur, 16 tahun.
Empat lagi hakim yang bersidang ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, dan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Ketika kejadian lelaki itu berumur 15 tahun dan telah berhenti sekolah. Mengikut Seksyen 97(2)(b) Akta Kanak-kanak 2001, seorang kanak-kanak yang didapati bersalah tidak boleh dikenakan hukuman mati dan akan dipenjarakan di satu tempat sehingga mendapat perkenan Sultan atau Raja.
Dalam keputusannya Hakim Md Raus berkata perayu dalam pembelaannya berkata dia tidak berada di tempat kejadian tetapi saksi pendakwaan keenam melihat perayu telah mengejar si mati dan perayu juga adalah orang terakhir berada dengan si mati. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=YSQQadWZfhU

