Majlis MARA mendapati ada keraguan yang munasabah mengenai banyak perkara dalam urusan pembelian aset Dudley International House di Melbourne, Australia pada harga RM65 juta di mana RM13 juta daripada jumlah itu didakwa ‘terlebih bayar’.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tan Sri Annuar Musa memberitahu demikian dalam sidang akhbar di ibupejabat MARA di Kuala Lumpur petang Khamis selepas mengadakan mesyuarat khas majlis MARA.
“Berdasarkan kepada laporan interim audit dalaman MARA dan beberapa penjelasan dan ulasan yang diberikan MARA Inc., kita dapati ada beberapa perkara dari segi tadbir urus untuk kita siasat lebih lanjut,” katanya.
Serentak dengan itu beliau mengumumkan Pengerusi MARA Incorporated Sdn. Bhd., Datuk Mohammad Lan Allani dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abd. Halim A. Rahim direhatkan daripada tugas buat sementara bagi membantu siasatan berhubung kontroversi pembelian aset di Melbourne itu
Namun, katanya iIni tidak semestinya bermakna MARA telah temui apa-apa kesalahan terhadap mereka berdua.
“Mereka dilepaskan sementara daripada tugas bagi membolehkan urusan siasatan dijalankan tanpa sebarang gangguan,” katanya.
Menurutnya, mesyuarat turut membincangkan secara terperinci mengenai isu tatacara perolehan dan perundingan sebelum aset tersebut dimiliki.
Katanya, semua pegawai tertinggi MARA Inc. termasuk pengerusi dan lembaga pengarahnya telah dipanggil untuk memberikan penjelasan.
Justeru katanya, MARA telah melantik firma PricewaterhouseCoopers (PwC) untuk mengendalikan urusan pengauditan lebih mendalam isu berkaitan dengan semua perolehan aset MARA Inc. Sdn. Bhd. yang dibeli di luar negara.
Katanya proses audit itu dijangka bermula serta merta dan hasil pengauditan dapat diketahui tidak lama lagi.
Annuar berkata, MARA juga memberikan kerjasama dan komitmen sepenuhnya kepada pihak penyiasat, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis.
Katanya, walaupun pihak polis mengatakan tidak terdapat unsur pecah amanah dalam kes ini, beliau mahu kes itu disiasat polis sekali lagi.
“Adalah perlu saya bertemu dengan PDRM untuk memberi sedikit maklum balas supaya PDRM mempunyai gambaran yang lebih jelas dan jika perlu, kita mahu perkara ini diteliti sekali lagi dengan lebih mendalam oleh PDRM,” katanya.
Sayap pelaburan MARA itu terjebak dengan kontroversi berikutan pendedahan akhbar Australia, The Age yang mendakwa ia telah membeli bangunan lima tingkat itu dengan harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran.
Pada masa ini, MARA Inc mempunyai aset bernilai RM600 juta di Australia dan United Kingdom.- www.agendadaily.com

