KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bercadang mengemukakan cadangan kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) supaya salah sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dinamakan sempena Allahyarham Abdul Wahab Alwi.
Menurut Asyraf Wajdi, Abdul Wahab merupakan pengasas dan pencetus idea penubuhan MRSM yang telah memberikan jasa besar kepada lebih 300,000 bekas pelajar institusi berkenaan.
“Saya akan mencadangkan kepada YAB Menteri KKDW agar menamakan salah sebuah MRSM atas nama pengasas dan pencetus idea MRSM Almarhum Abdul Wahab Alwi yang terlalu banyak jasanya kepada lebih 300 ribu bekas pelajar MRSM,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Cadangan itu turut mendapat reaksi positif netizen yang rata-ratanya memberikan pandangan mengenai sumbangan Abdul Wahab serta MRSM yang sesuai dinamakan sempena beliau.
Seorang pengguna media sosial, Nadia Baharudin menyifatkan cadangan berkenaan sebagai idea bernas dalam menghargai jasa kepada pendidikan anak bangsa.
“Alhamdulillah. Idea yang bernas untuk anak bangsa. Ilmu yang ada dpt mengubah kehidupan diri, keluarga,agama,bangsa dan negara. Tq Dr kerana Berkhidmat bukan sekadar pekhidmat tapi seperti ayah yang nak pastikan anak2 berjaya. Semoga Allah merahmati Dr dan team dunia akhirat,” katanya.
Sementara itu, Basri Husin mencadangkan MRSM Seremban yang merupakan MRSM pertama di Malaysia dan ditubuhkan pada 1972 dinamakan sempena Abdul Wahab.
Menurutnya, penubuhan MRSM Seremban merupakan hasil cetusan idea dan usaha Abdul Wahab bersama pasukannya yang menyediakan kertas cadangan serta mendapatkan sokongan sehingga penubuhannya diluluskan pada 1970.
“Allahyarham turut memainkan peranan dalam pemilihan tenaga pengajar dan pengetua bagi MRSM Seremban.
“Maka, amat wajar sekiranya MRSM Seremban dinamakan bersempena nama tokoh yang menjadi antara pengasas dan pencetus utama idea penubuhan MRSM ini, iaitu Allahyarham Abdul Wahab Alwi, sebagai penghargaan dan pengiktirafan terhadap jasa serta legasi besar beliau dalam sejarah pendidikan negara,” katanya.
Bagaimanapun, Roslan Abdul Hamid berpandangan MRSM Pengkalan Chepa lebih sesuai dinamakan sempena Abdul Wahab kerana menurutnya, Allahyarham terlibat dalam usaha mendapatkan tanah dan menguruskan penubuhan institusi itu sejak peringkat awal.
“Jika mahu namakan satu MRSM dengan nama Abdul Wahab Allwi, MRSM itu adalah MRSM Pengkalan Chepa. Dia yang cari tanah , urusakan dari awal sampai akhir. Anak dia pernah belajar di MRSM PC. Dan palinc utama Almarhum Abdul Wahab Alwi adalah orang Kelantan.
“Kami pelajar MRSM tahun 70an kenal nama Bapa MRSM ini dari awal,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi netizen, Mohd Nabil berharap nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Tun Razak turut dipertimbangkan untuk digunakan pada salah sebuah MRSM sebagai penghargaan terhadap jasanya.
“Saya harap nama Dato Seri Najib Razak juga jadi salah satu nama,sbb jasa dia pon tak kurang hebatnya,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Asyraf Wajdi Dusuki


