IPOH – Kerajaan negeri kini dalam peringkat perbincangan lanjut dengan Kementerian Pendidikan dalam usaha menaik taraf Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS), Kuala Kangsar sebagai universiti penuh.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberikan respons positif bagi merealisasikan hasrat berkenaan.
“Kita sudah mengadakan beberapa perbincangan dan kertas kerja sudah dibentangkan. Penyediaan konsep juga telah disediakan dan rektor KUISAS (Tan Sri Nordin Kardi) telah mengadakan siri perbincangan dengan pegawai utama di peringkat kementerian,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kembara Siswa Siswi Yayasan Perak di sini Khamis malam.
Menurutnya, terdapat beberapa kriteria yang perlu dipenuhi agar KUISAS dapat mencapai status sebuah universiti penuh.
“Antaranya, kita perlu memenuhi jumlah pelajar dan prestasi akademik. Aspek ini yang perlu kita perbaiki. Ini termasuklah membawa masuk pelajar antarabangsa. Jadi kami sedang berusaha ke arah itu,” katanya.
Sementara itu, mengenai pelancaran kembara, Dr Zambry berkata kerajaan negeri akan mula mengadakan siri jelajah ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh Malaysia menerusi tujuh zon selepas Aidilfitri nanti.
Zon berkenaan ialah zon Perak, zon Utara, zon Tengah, zon Timur, zon Selatan, zon Sabah dan zon Sarawak.
Katanya, kembara berkenaan diadakan bagi merapatkan hubungan antara kepimpinan kerajaan negeri dan mahasiswa Perak yang berada di IPT di seluruh negara.
“Ia merupakan sesi di mana saya dan rakan-rakan akan turun ke universiti untuk bertemu dengan anak-anak Perak di IPT seperti mana yang telah saya lakukan sebelum ini.
Terdahulu, Dr Zambry berbuka puasa dan solat tarawih bersama 935 mahasiswa yang menuntut di 18 buah IPT di Perak. – BERNAMA

