KUALA LUMPUR – Dewan Ulama PAS Malaysia mengecam pihak yang mengungkit kisah perjuangan mereka untuk membangunkan parti kerana perjuangan itu merupakan satu dakwah.
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, setiap ahli PAS menyumbang untuk parti dengan kelebihan dan kemampuan tersendiri tetapi tidak mengungkit seperti itu.
“Ada yang berharta lalu menyumbangkan harta. Sedikit cara sedikit. Banyak cara banyak. Yang tidak berharta menyumbangkan tenaganya. Ada menyumbangkan ilmunya. Ada yang berilmu dan berharta menyumbangkan kedua-duanya.
“Ada yang mengorbankan keselesaan hidup, masa bersama keluarga dan memperjudikan jawatan dan pekerjaan. Ada yang bersedia untuk berhadapan kecaman masyarakat sekitar dan dinafikan hak sebagai rakyat. Setiap orang menyumbang,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kayat dalam Facebook beliau hari ini menyiarkan coretan veteran PAS Johor, Ishak Salleh yang membangunkan Dewan Pemuda PAS Pontian dan Pemuda PAS Johor.
Ishak dalam penulisan itu mendakwa ramai golongan muda PAS waktu ini mahu bebas dari rakan tahaluff Pakatan Rakyat kerana tidak merasai kesusahan orang lama PAS membangunkan parti itu.
Menurut Ishak, golongan muda PAS terbabit menyertai parti sewaktu PAS sudah kuat kerana pandai bertahaluff, mempunyai kerajaan negeri dan ada ramai wakil rakyat.
“Mereka tidak membesar dalam PAS, ketika PAS bersendirian, ketika PAS bermusuh dengan semua orang.
“Saya `recall’ semula memori ketika menubuhkan PAS di Pontian. Orang Cina benci PAS kerana dituduh ultra Melayu. Orang Melayu meluat pada PAS kerana dituduh mengkafirkan orang Melayu,” kata Ishak.
Mohd. Khairuddin berkata, ahli PAS tidak boleh menggunakan jasa dan sumbangan mereka sebagai lesen untuk mempromosi pelbagai idea karut, strategi yang tidak berpaksikan Islam, mengenepikan asas dan prinsip asal perjuangan. – mynewshub.cc

