SEMENYIH – Proses mengeluarkan serpihan helikopter yang terhempas di sini, dijangka selesai dalam masa tiga hari, selepas mendapat kelulusan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB).
Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Dr Ismail Bakar berkata kesemua serpihan akan dihantar ke Hangar Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sungai Besi untuk siasatan lanjut dijalankan.
“Semua komponen kecil kami akan keluarkan mulai hari ini yang mana boleh melalui jalan darat. Komponen lebih besar dan berat akan diangkat melalui udara menggunakan helikopter,” katanya pada sidang media di lokasi nahas di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat.
Ismail berkata, pihaknya akan mendapatkan bantuan daripada pihak Tentera Udara Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi membantu mengeluarkan serpihan dan komponen-komponen besar.
Sementara itu, Abdul Samah berkata beliau berpuas hati dengan operasi pencarian yang dijalankan pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan khas Jabatan Penerbangan Awam (DCA).
“Sehingga kini semua komponen utama telah dikenal pasti oleh pasukan tersebut dan kami menunggu kelulusan Pasukan Siasatan Kemalangan Udara sekiranya mereka juga berpuas hati,” katanya.
Abdul Samah berkata, pihaknya akan menunggu kelulusan AAIB, dan sekiranya mereka berpuas hati dengan semua komponen utama yang telah dikenal pasti, operasi pencarian tidak perlu diperluaskan.
“Kalau mereka kata ada lagi diperlukan maka saya akan perluaskan radius pencarian,” katanya.
Operasi pencarian tragedi nahas helikopter yang mengorbankan enam termasuk anggota Parlimen Rompin Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Azlin Alias masuk hari ketiga hari ini.
Dalam kejadian Sabtu lepas, helikopter AS3655N2 Dauphin (9M-1GB) yang membawa enam orang terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.
Empat lagi mangsa ialah juruterbang Kapten Clifford William Fournier, pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan Seran, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang dan seorang wanita dikenali sebagai Aidana Baizieva. – BERNAMA

