KUALA LUMPUR – Pemimpin veteran DAP percaya kerajaan PAS Kelantan berpotensi untuk ditumbangkan oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Penasihatnya, Lim Kit Siang mendakwa, Johor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah dan Perak pula berpotensi bertukar kepada kerajaan Pakatan Rakyat.
“Kesemua lapan negeri di atas termasuk Kelantan yang berada di bawah pentadbiran PAS berkemungkinan bertukar kerajaan negeri dalam PRU14,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kit Siang mendakwa, jangkaan itu berdasarkan persoalan sama ada PAS boleh mengekalkan kuasa di Kelantan selepas meneruskan cadangan pelaksanaan hudud di negeri itu.
“Terdapat perbezaan pendapat yang kuat seperti kepercayaan bahawa urustadbir yang baik adalah jawapan paling tepat untuk mengekalkan tapak kuasa PAS di Kelantan, kerana sebarang pelanggaran terhadap Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan prinsip konsensus dalam Majlis Pimpinan sepertimana desakan unilateral agenda pelaksanaan hudud bukan sahaja akan membahayakan Kelantan tetapi juga memusnahkan sebarang harapan untuk menawan semula kerajaan negeri Kedah,” dakwanya.
Dakwa beliau, perkembangan politik dalam beberapa minggu lagi akan memutuskan sama ada usaha-usaha Pakatan Rakyat semasa PRU13 di negeri terlibat akan diperkukuh atau dilemahkan. – MYNEWSHUB.cc
