KULIM – Polis melumpuhkan aktiviti penjualan air ketum, pecah rumah dan sindiket membeli serta menjual motosikal terpakai dengan tertangkapnya tiga lelaki di beberapa lokasi di sini pada Selasa dan Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Kulim Supt Abdullah Arshad berkata dalam kes pertama, polis menahan seorang lelaki berusia 39 tahun pada Khamis bagi membantu siasatan berikutan penemuan sebuah ladang ketum seluas lebih satu hektar di Kampung Siam, Batu Puteh, Karangan dekat sini.
Ketibaan pasukan polis yang diketuai Abdullah sendiri dengan menunggang motosikal tidak disedari sekumpulan lelaki yang sedang leka memetik daun-daun ketum di ladang tersebut.
“Sebanyak 10 kilogram daun ketum segar berharga RM350 di dalam dua guni kecil telah dirampas,” katanya kepada pemberita di sini.
Pada Khamis juga, polis menahan seorang pemilik bengkel dan kedai menjual alat ganti motosikal di Kampung Padang Serai, dekat sini dan menjumpai 14 buah rangka motosikal yang dipercayai dicuri bersama peralatannya dan enjin motosikal yang telah dileraikan di sebuah bengkel.
“Lelaki berusia 49 tahun yang menjalankan operasinya sejak lebih 25 tahun lalu ditahan reman sehingga Selasa depan untuk membantu siasatan,” kata Abdullah.
Sementara itu dalam operasi pada Selasa lepas, seorang lelaki berusia 35 tahun ditahan polis di sebuah rumah di Taman Legenda Padang Serai bersama sebuah motosikal Yamaha 125 yang dilaporkan dicuri kira-kira empat jam sebelumnya.
Menurut Abdullah, susulan itu, polis turut menjumpai sebuah kereta Proton Wira yang dilaporkan hilang, tersadai di dalam ladang kelapa sawit di sekitar kampung Sungai Seluang, Lunas dekat sini.
Katanya dengan penangkapan lelaki tersebut juga sekurang-kurangnya lima kes pecah rumah sekitar Pekan Padang Serai dapat diselesaikan.
“Beberapa peralatan untuk memecah masuk rumah dan kereta juga telah ditemui di dalam rumah tersebut, termasuklah sepasang sarung tangan, tukul besi, sebatang besi yang dibuat khas untuk memecah cermin kereta dan pemutar skru,” katanya. – BERNAMA

