ALOR SETAR – Dua lelaki tempatan ditahan polis semalam selepas disyaki terbabit dalam insiden tembakan di sebuah kedai makan di Padang Terap, dekat sini, Selasa lalu.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, Selasa lalu, salah seorang suspek melepaskan tembakan ke arah dua biji telefon bimbit kepunyaan pemilik kedai makan terbabit dipercayai akibat cemburu.
Rentetan itu, pemilik kedai makan terbabit yang juga seorang wanita tempatan membuat laporan polis bagi memaklumkan mengenai kejadian terbabit.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Zakaria Yusoff yang mengesahkan kejadian itu berkata, ketika tahanan dibuat ke atas dua suspek itu turut dirampas adalah selaras senapang jenis pump gun dan 24 peluru hidup.
“Kita membuat serbuan hasil aduan daripada pemilik kedai makan yang dipercayai teman wanita kepada salah seorang suspek.
“Suspek pertama berusi 30-an ditahan di sebuah stesen minyak sekitar Padang Terap kira-kira jam 3.30 pagi dan merampas sebutir peluru hidup bersama dua pasang gari.
“Susulan penahanan itu polis menjalankan serbuan di sebuah rumah di Padang Terap kira-kira jam 5.30 pagi dan menahan seorang lelaki berusia 30-an selain merampas selaras senapang pump gun bersama beberapa jenis peluru hidup,” katanya, di sini hari ini.
Semua suspek direman selama tujuh hari hingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 (Penalti lebih berat) dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960. – Berita Harian Online

