BUAT peminat siri sains fiksyen X-Files yang pernah mencetuskan fenomena belasan tahun lalu, khabar ini pastinya sesuatu yang dinanti-nantikan.
Mana taknya, selepas lebih kurang 13 tahun dihenti siaran, siri tersebut bakal kembali di kaca televisyen tidak lama lagi.
Lagi menambahkan keterujaan, X-Files yang dirancang untuk dihasilkan sebanyak enam episod, bakal tampil dengan dua tonggak utama sama iaitu David Duchovny dan Gillian Anderson.
Pernah menggondol 16 trofi Anugerah Emmy dan lima Anugerah Golden Globe, siri itu digemari ramai kerana tampil dengan jalan cerita penuh misteri tentang dua agen FBI yang mengendalikan kes berkaitan aktiviti paranormal.
Memetik kenyataan pencipta dan penerbit eksekutif siri tersebut iaitu Chris Carter, “Saya fikir ia (X-Files) hanya berhenti untuk ‘iklan komersil’ selama 13 tahun.”
Beliau mengumumkan siri tersebut akan mula menemui penonton pada musim panas hadapan.
– MYNEWSHUB.CC
Laporan Berita Antarabangsa Tentang Pembikinan Semula Siri X-Files