LONDON – Chelsea menghidupkan kembali peluang Manchester City untuk memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang kelab bergelut, Burnley, sebentar tadi.
Begitupun, Manchester United paling terkesan apabila tewas kepada Swansea 1-2 yang menyukarkan laluan kelab bimbingan Louis van Gaal itu untuk berada di kedudukan empat teratas liga.
Chelsea mendahului perlawanan di Stamford Bridge sebelum jaringan Ben Mee menerusi sepakan sudut pada minit ke-81 meranapkan harapan The Blues untuk mengutip tiga mata penuh di laman sendiri.
Pemain pertahanan, Branislav Ivanovic menjaringkan gol Chelsea seawal minit ke-14 dengan ketiadaan pemain tengah, Nemanja Matic yang diarah keluar padang selepas menerima kad merah menjadi punca kebangkitan Burnley.
Kekalahan kepada Swansea menyaksikan United mengharungi kekalahan kedua sejak November tahun lalu dan menamatkan rentetan 20 perlawanan tanpa kalah sebelum ini.
Ketinggalan menerusi jaringan Ander Herrera pada minit ke-28, Swansea bangkit menyamakan kedudukan dua minit kemudian menerusi Ki Sung-Yueng.
Bafetimbi Gomis kemudian melengkapkan derita United dengan meledak gol kemenangan Swansea pada minit ke-73.
Arsenal dalam pada itu mendaki ke tangga ketiga liga mengatasi United hasil kemenangan 2-1 ke atas Crystal Palace.
Gol-gol Arsenal dijaringkan oleh Santi Cazorla menerusi sepakan penalti pada dan penyerang Perancis, Olivier Giroud. – AP