ISKANDAR PUTERI – Nama Johor Darul Ta’zim (JDT) terus bergema di pentas bola sepak antarabangsa apabila kejayaan mengikat kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea 3-3 dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi mendapat perhatian media antarabangsa.
Lebih membanggakan, wartawan sukan dan pakar pasaran perpindahan pemain bola sepak antarabangsa dari Itali, Rudy Galetti, menyifatkan pencapaian JDT itu sebagai sesuatu yang “magnificent” atau mengagumkan.
Galetti menerusi hantaran di media sosial berkata, Chelsea berjaya seri 3-3 dengan JDT, sebuah kelab yang kini berada di ambang mencipta sejarah bola sepak dunia dengan potensi rekod 109 perlawanan liga tanpa kalah.
Menurutnya, di bawah naungan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, JDT telah berkembang menjadi antara projek bola sepak paling mengagumkan di Asia, termasuk memiliki kemudahan serta standard bertaraf Liga Perdana Inggeris.
“Chelsea mempunyai bajet sekitar £300 juta, manakala JDT beroperasi dengan £11 juta: mengagumkan,” katanya.
Pujian itu sekali gus memberikan gambaran betapa perkembangan JDT bukan sahaja mendapat perhatian di Malaysia, malah mula diiktiraf oleh pemerhati bola sepak antarabangsa.
Dalam pada itu, laman media sosial rasmi Chelsea Football Club yang mempunyai lebih 58 juta pengikut turut membuat hantaran mengenai aksi berkenaan.
Laman Facebook Johor Southern Tigers pula memaklumkan seramai 28,741 penyokong hadir menyaksikan pertembungan sengit yang berkesudahan 3-3 sambil merakamkan penghargaan kepada semua penyokong yang hadir memberikan sokongan.
“28,741 fans watched a fierce encounter that ended 3-3. Thank you to all the fans that came out tonight – we felt your roar,” menurut hantaran berkenaan.
Keputusan 3-3 itu membuktikan JDT bukan sekadar pelengkap dalam aksi persahabatan menentang kelab ternama dunia, sebaliknya mampu memberikan saingan sengit kepada pasukan yang mempunyai reputasi dan sumber kewangan jauh lebih besar.
Lebih penting, aksi tersebut turut menjadi pentas untuk JDT memperlihatkan kemampuan kelab dari Asia bersaing di pentas global, sekali gus mengangkat nama bola sepak Malaysia ke perhatian peminat antarabangsa. – MYNEWSHUB


