LONDON – Jose Mourinho menegaskan Chelsea akan bangkit dengan pantas daripada penyingkiran memalukan di pusingan empat Piala FA selepas tewas kepada kelab divisyen tiga, Bradford kerana hampir kesemua pemain utamanya direhatkan ketika kekalahan itu.
Pengendali kelahiran Portugal itu berdepan salah satu kekalahan paling memalukan sepanjang kariernya ditambah status selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris apabila mensia-siakan kelebihan dua jaringan sebelum tewas 4-2 di Stamford Bridge, awal pagi tadi.
Ia kekalahan pertama Chelsea kepada kelab di liga lebih bawah sejak 2008 yang turut merencatkan perancangan kelab itu untuk memenangi empat trofi utama, musim ini malah Mourinho mengakui turut malu dengan persembahan pemainnya.
Begitupun, pengurus bermulut lantang itu turut menegaskan kekalahan itu tidak memberi parut kepada pemainnya selepas melakukan lapan penukaran dalam perlawanan itu dengan Eden Hazard dan Cesc Fabregas hanya dimasukkan sebagai pemain gantian selain Diego Costa tidak disenarai.
“Adakah ia akan menjejaskan perlawanan selepas ini? Saya tidak tahu kerana kebanyakan pemain tidak terbabit secara terus dalam perlawanan ini. Saya tidak fikir pemain-pemain ini terjejas,” kata Mourinho.
“Saya tidak fikir (Branislav) Ivanovic, (Nemanja) Matic, Diego (Costa), pemain yang tidak terbabit dalam perlawanan ini terjejas. Namun ini adalah pasukan kami dan kami tewas kepada pasukan yang berada di divisyen lebih rendah.
“Dalam dunia yang ideal, ia akan menjejaskan kami dalam sudut yang postif bukannya negatif. Kami perlu menang perlawanan selepas ini dan kami akan melakukannya,” katanya,.
Peluang terbaik Chelsea untuk memadam duka penyingkiran di Piala FA hadir ketika perlawanan timbal balik separuh akhir Piala Liga bertemu Liverpool, Selasa ini selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi pertama.
Lawan The Blues selepas itu ialah pencabar kejuaraan, Manchester City pada Sabtu dalam kempen Liga Perdana yang dilihat menjadi penentu penting kejuaraan musim ini. – AFP