PUTRAJAYA – Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesihatan, Datuk Jalil Marzuki dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkuatkuasa hari ini.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan media memberitahu, bekas Timbalan Ketua Pengarah (Penyiaran Strategik) Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) JPA.
“Jalil menggantikan Datuk Sri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad yang dilantik menjadi Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
“Manakala, Ahmad Jailani menggantikan Datuk Seri Zainal Rahim Seman yang telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Jabatan Perdana Menteri,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, Jalil yang merupakan anak jati Johor berpengalaman luas selama lebih 30 tahun dalam Perkhidmatan Awam berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sejarah dari Universiti Malaya.
Manakala, Ahmad Jailani berasal dari Perak dan mempunyai pengalaman selama lebih 20 tahun dalam Perkhidmatan Awam berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Geografi dari Universiti Malaya.
“Pelantikan kedua-dua Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang baharu ini akan dapat meneruskan Agenda Transformasi Perkhidmatan Awam ke tahap yang lebih cemerlang, dinamik dan berprestasi tinggi,” kat kenyataan itu. – mynewshub.cc