KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) kembali menjadi perhatian apabila muncul mempersoalkan cadangan mewujudkan jawatan Timbalan Exco di Negeri Sembilan.
Pengerusi BERSIH, Muhammad Faisal Abdul Aziz menerusi satu hantaran di media sosial mempersoalkan keperluan kerajaan Negeri Sembilan mencadangkan jawatan tersebut.
“Saya melihat tiada keperluan untuk wujudkan jawatan Timbalan Exco memandangkan sebelum ini kerajaan Negeri Sembilan telah berkhidmat dengan cemerlang tanpa adanya jawatan tersebut.
“Sebaliknya, jika ingin kukuhkan pentadbiran, lebih baik kerajaan Negeri Sembilan di bawah Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim kukuhkan Jawatankuasa DUN,” dakwanya.
BERSIH adalah sebuah gabungan badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia yang mendakwa memperjuangkan pembaharuan sistem pilihan raya dan demokrasi yang telus.
Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), BERSIH terlibat dalam beberapa demonstrasi mengkritik pentadbiran kerajaan ketika itu.
Muhammad Faisal mendakwa, rata-rata DUN perlu banyak penambahbaikan termasuk mengukuhkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan (PAC) Negeri dan mewujudkan Jawatankuasa Pilihan yang bersesuaian seperti mengikut portfolio Exco seperti diamalkan di DUN Selangor.
Justeru, katanya, ADUN merentas parti kerajaan dan pembangkang boleh berperanan lebih besar sebagai pihak semak dan imbang untuk memastikan Exco melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan baik.
Selain itu, katanya, kerajaan boleh menubuhkan Jawatankuasa Tambahan berdasarkan isu-isu keutamaan seperti dilakukan DUN Perak selain menambah baik pasukan kajian supaya perbahasan Dewan lebih bermutu.
“Maka di sini ADUN boleh memainkan peranan untuk kukuhkan pentadbiran. Dalam konteks ini, BERSIH dan IDEAS bersama dalam Sekretariat Kaukus Demokrasi Pelbagai Parti (KDPP) yang dianggotai ADUN pelbagai negeri dan parti bertujuan menambah baik institusi DUN.
“Kesenjangan antara DUN dan Parlimen khususnya dalam aspek semak imbang harus dirapatkan,” dakwanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Muhammad Faisal Abdul Aziz


