KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak mahu mengulangi budaya pentadbiran terdahulu yang menghukum rakyat di negeri-negeri tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, jawatan Perdana Menteri merupakan amanah yang perlu dilaksanakan dengan adil tanpa mengira perbezaan fahaman politik.
“Saya sedar bahawa jawatan saya ini terbatas. Mungkin meninggal dunia, mungkin uzur, mungkin kalah.
“Justeru, sementara diberi ruang dan kuasa oleh Allah SWT, saya mahu lakukan sebaik mungkin supaya pemerintahan yang dipimpin oleh orang Islam ini menjadi teladan dalam berlaku adil dan bijaksana serta mengangkat martabat rakyat dan negara,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Terdahulu, Anwar menghadiri Program Sebarkan Salam @ Kota Bharu Berselawat 2026 bersama para ulama, tuan guru dan rakyat Kelantan, malam tadi.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan Islam tertegak dengan budaya Iqra dan keilmuan berteraskan akidah serta pembentukan sahsiah yang baik.
Katanya, kefahaman itu perlu diperkukuh dengan menggali semula turath, iaitu khazanah ilmu warisan ulama sejak lebih 1,000 tahun lalu yang menjadi asas kekuatan iman dan akhlak umat.
Anwar turut memaklumkan Kerajaan Madani terus meningkatkan sokongan serta menambah baik kemudahan institusi pondok agar dapat berkembang dan menyumbang kepada masyarakat.
Beliau berkata, komitmen terhadap pendidikan dan kesejahteraan rakyat turut diterjemahkan melalui pelbagai peruntukan pembangunan di Kelantan.
Antaranya, lebih RM260 juta diluluskan bagi pembangunan Terminal Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral (KB Sentral), selain baik pulih institusi pendidikan Islam serta penyediaan kemudahan wakaf air, solar dan dialisis di beberapa masjid.
“Kerana itu, apabila ada yang mendakwa Kerajaan Madani tidak membantu Kelantan sama sekali, saya tegaskan bahawa dakwaan itu tidak benar,” katanya.
Beliau turut berharap diberikan kekuatan untuk terus menunaikan amanah, menyuburkan budaya ilmu, memuliakan ulama dan membela rakyat. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Anwar Ibrahim


