KUALA LUMPUR – Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) mengingatkan kesemua ahli parti itu supaya tidak taat kepada parti bukan Islam termasuk DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun PAS menganggotai Pakatan Rakyat (PR).
Ketua Penerangan DUPP, Dr. Mohd. Khairuddin Aman berkata, walaupun Islam memberi kelonggaran kepada ahli parti itu menyokong parti bukan Islam terbabit namun bersyarat selagi tidak menjadi alat untuk menobatkan dasar-dasar yang bercanggah dengan Islam.
“Syarat itu selagi dasar-dasar Islam tidak dipertikaikan atau disekat dan dihalang untuk dilaksanakan dan disebarkan atau selagi sokongan itu membantu dakwah Islam tersebar.
“Juga bersyarat iaitu ahli tidak berwalak taat setia kepada parti-parti yang tidak Islam ini sehingga mendorong mereka membantu atau mendokong atau menyayangi parti lain melebihi parti dan perjuangan Islam,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Mohd. Khairuddin, beliau berkata demikian memandangkan tindak-tanduk DAP sejak akhir-akhir ini terhadap dasar-dasar Islam yang diperjuangkan PAS sangat meragukan.
Jelasnya, tindakan DAP mempertikaikan Presiden PAS selaku ketua syarie yang wajib ditaati oleh ahli PAS menurut Islam dalam beberapa isu di luar akhlak bekerjasama PR.
“DAP menghina kerajaan Islam Kelantan yang telah memerintah selama 25 tahun dalam isu banjir sangat mengecewakan,” katanya.
Maka, kata beliau, menjadi kewajipan ahli PAS memastikan mereka tidak terbabas dalam melayari kerjasama politik dengan DAP dan PKR sehingga perjuangan Islam menjadi kabur dan dasar berekonomi kapitalis berasaskan riba diterima.
Tegas beliau, ahli PAS juga tidak boleh terbabas sehingga dasar percukaian yang bercanggah dengan Islam diterima, perjuangan menegakkan hukum jenayah Islam dianggap remeh manakala ketaatan kepada ketua PAS jadi kabur dan walak kesetiaan beralih daripada parti Islam kepada PR.
“Ahli-ahli PAS mesti beristiqamah dengan dasar Islam untuk meraih kemenangan Islam yang lebih besar,” katanya.
-MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=qN4yOnHPC74

