Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengadakan lawatan di negeri Perak pula bagi meninjau kawasan yang terjejas ekoran musibah banjir tersebut.
Beliau turut berkesempatan bertemu dengan mangsa-mangsa banjir dari negeri tersebut di beberapa pusat penempatan banjir seperti Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kampung Gajah dan Pasir Salak, Perak.
Kehadiran Najib bertemu mangsa-mangsa banjir ini memberi peluang bagi Najib mendengar suara hati rakyat sendiri mengenai keluhan, rintihan dan harapan mereka yang dilanda ujian seumpama ini.
Selepas lawatan tersebut, Najib dalam sidang media yang diadakan memaklumkan yang individu yang terlibat dalam penyebaran berita palsu mengenai banjir bakal dikenakan tindakan tegas.
Beliau turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menyiasat hingga ke akar umbi supaya tindakan dapat diambil.
Menurut laporan Berita Harian (BH), Perdana Menteri berkata, golongan penyebar berita palsu ini berbahaya kerana ianya boleh mencetuskan panik dan mendatangkan kerisauan di kalangan mangsa banjir.
“Harap SKMM dapat kesan mereka yang terbabit dan diambil tindakan terhadap mereka. Harap rakyat tidak terima bulat-bulat berita dalam media sosial sebab ia hanya media perantaraan saja dan tidak dapat menentukan kesahihan maklumat,” katanya.
Disamping itu, hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.- MYNEWSHUB.CC
NAJIB LAWAT MANGSA DI KELANTAN




