LONDON – Wayne Rooney mencipta kejayaan manis Manchester United untuk kembali di persada empat teratas Liga Perdana Inggeris apabila membantu kemenangan 2-1 ke atas Arsenal di Emirates Stadium, awal pagi tadi.
Selepas membantu England, kapten United itu melakar gol kemenangan pada minit ke-85 dengan menguis masuk gol menewaskan penjaga gawang gantian Arsenal, Emiliano Martinez.
Terdahulu, United membuka tirai jaringan menerusi gol sendiri oleh Kieran Gibbs pada minit ke-56 selepas ledakan kencang Antonio Valencia terkena kaki pertahanan kiri Arsenal itu.
Bola yang mengelirukan itu cuba ditampan penjaga gol Wojciech Szczesny namun dia mendapat kecederaan dan terpaksa dikeluarkan.
Selepas kedudukan 2-0 berpihak kepada United, Arsenal cuba bangkit dengan memasukkan Olivier Giroud pada lewat separuh masa kedua.
Kemunculannya bagaimanapun menyengat apabila tendangan lencongnya menggegarkan jaring pada minit ke-90.
Kemenangan United itu adalah kejayaan di tempat lawan yang pertama sejak 5 April lalu.
Ini bermakna kedudukan di tempat keempat liga itu menyaksikan skuad bimbingan Louis van Gaal kini kembali dalam persaingan untuk ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan dengan perbezaan 13 mata daripada pendahulu liga, Chelsea. – AFP