Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali menyifatkan ketidakhadiran Presiden PAS ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) bukan satu isu besar.
Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata, ketiadaan pemimpin tertinggi dalam mesyuarat itu tidak menjejaskan pun hubungan baik antara tiga parti PAS-PKR-DAP dalam pakatan itu.
“Saya percaya hal ini boleh diselesaikan secara baik dalam PR.
“Saya tidak melihat ia sebagai satu isu besar. Hadi dan pimpinan PAS memberikan komitmen positif dalam Pakatan sehingga menghasilkan kejayaan dalam pilihan raya umum,” katanya kepada pemberita di Gombak hari ini, memetik laporan The Malaysian Insider.
DAP dilihat kurang senang apabila Abdul Hadi kerap menghantar Timbalan Presiden Mohamad Sabu ataupun Setiausaha Agung parti Datuk Mustafa Ali untuk menghadiri mesyuarat itu mewakilinya.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng membuat kenyataan media berharap Abdul Hadi akan kerap hadir ke mesyuarat dan DAP sanggup menunggu kelapangan Abdul Hadi untuk hadir.
Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP turut itu meluluskan resolusi mendesak agar ahli Parlimen Marang itu hadir ke mesyuarat PR.
Bagi Mustafa pula, beliau kecewa dengan kenyataan oleh DAP yang mengungkit isu itu apabila mendakwa Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang sejak 2008 lebih kerap ponteng mesyuarat berbanding Abdul Hadi.
Katanya, kebiasaannya, sebarang perbezaan pandangan akan dibincang bagi mencari penyelesaian dan tidak dianggap masalah dalaman.
Malah beliau menegaskan hubungan antara PKR, DAP, dan PAS semakin kukuh dalam PR.
“Sekiranya ada pandangan yang berbeza, kita akan selalu bincang dalam Majlis Presiden PR, tradisi ini cukup sihat dan akan diteruskan,” katanya.
Minggu lalu, Hadi berkata beliau tidak hadir mesyuarat kerana tidak sihat sehingga susut badan berbanding sebelumnya.
“Rasa tak berapa sihat sikit sejak akhir-akhir ini. Suara pun tak berapa nak keluar,” katanya dipetik laporan Harakahdaily pada 10 November lalu. – MYNEWSHUB.CC

