KUALA LUMPUR – Pas membatalkan kerjasama dengan DAP dan Pakatan Rakyat (PR) apabila suara dan perkataan Islam diminta untuk disembunyikan serta berlakunya tentangan terhadap Islam.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas malah menolak anggota partinya yang mengambil pendekatan ‘mujamalah’ supaya menyembunyikan cita-cita negara Islam dan pelaksanaan Islam bagi meneruskan kerjasama dengan pihak lain.
“Pas banyak mengambil pengalaman daripada beberapa gerakan Islam di beberapa negara yang mengambil pendekatan mujamalah sehingga membuang label Islamnya.
“Lalu ditukar kepada perkataan keadilan, kemerdekaan, islah, amanah dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Abdul Hadi berkata, ketegasan Pas dalam istiqamah bersama Islam menjadikannya gagal diheret dan dipergunakan dalam permainan politik yang tidak ikhlas bersama Islam.
Menurut beliau, semua pihak yang mahukan Pas menjadi tangga tujuan politik berkonsepkan oportunis akan meninggalkan PAS dengan menerjunkan diri sehingga terhumban tanpa tangga.
“Atau dicampak dan tersungkur keluar dalam keadaan membawa diri yang hilang tujuannya dan pasti tenggelam dalam gelombang politik yang sentiasa bergelora,” katanya.
Kata beliau, Pas pula tidak tenggelam walaupun pernah kehilangan kerusi dan pemimpinnya silih berganti mengikut ketetapan Allah SWT.
Terdahulu, Abdul Hadi berkata, Pas tidak pernah mengkhianati kerjasama dengan pihak lain mengikut sempadan Allah SWT dan ajaran Rasulullah SAW.
Menurut beliau, Pas bekerjasama dengan semua pihak sejak mula ditubuhkan sebelum kemerdekaan menentang penjajahan dan selepas kemerdekaan dan membatalkan kerjasama apabila mahu diheret keluar daripada landasannya. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Abdul Hadi Awang


