LABUAN – Golongan wanita khususnya daripada kaum Cina dan India di negara ini digesa menganggotai Komuniti Persatuan Wanita 1Malaysia (PERWANI) yang diperkenalkan kerajaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun, berkata ini berikutan penyertaan daripada kedua-dua kaum itu tidak begitu menggalakkan berbanding keanggotaan daripada kalangan wanita Melayu yang mendominasi PERWANI.
Katanya, pertambahan ejen PERWANI daripada kalangan kaum Cina dan India dapat membentuk jaringan wanita yang lebih utuh sekali gus membawa lebih banyak manfaat kepada komuniti.
Chew berkata, program di bawah kelolaan Jabatan Pembangunan Wanita itu mampu memperkasa program transformasi komuniti melibatkan golongan wanita di bandar atau luar bandar di semua peringkat umur tanpa mengira bangsa dan agama.
“Penyertaan dalam persatuan itu juga memberi peluang kepada kaum hawa untuk meningkatkan ekonomi serta taraf hidup menerusi pelaksanaan pelbagai program pembangunan masyarakat, ekonomi, sosial dan kejiranan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
PERWANI membuka keanggotaan kepada wanita warga negara Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan pendaftaran boleh dilakukan di Pejabat Pembangunan Wanita di setiap negeri.
Katanya, setakat ini lebih 6,000 orang anggota PERWANI didaftarkan di seluruh negara.
Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan bantuan kepada warga emas Tan Siew Lan, 66, yang lumpuh akibat strok, di Rumah Kebajikan Tan Sri Harris Salleh di kampung Tanjung Aru di sini. – BERNAMA

